Selamat Datang ke blog SMK Seri Sepang

Blog ini khas dibangunkan untuk semua warga SMK Seri Sepang.Blog ini diharap menjadi medium interaksi sesama warga SMK Seri Sepang..

Friday, June 28, 2013

SEKALUNG TAHNIAH - PASUKAN FORUM REMAJA SMK SERI SEPANG

Kamilah Juara!

Pasukan Forum Remaja Bahasa Melayu telah mengharumkan nama sekolah dengan muncul johan bagi Pertandingan Forum Remaja Daerah Sepang yang telah diadakan di Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar pada 2 Mei 2013.  Pasukan ini dianggotai oleh Muhammad Muzaffar bin Mazuke selaku Pengerusi Forum, Muhammad Nur Izzany bin Abd Ghani selaku Ahli Panel 1, Amierul Syafiq bin Kamaruzzaman selaku Ahli Panel 2, Muhammad Aminuddin bin Nor Hasnan selaku Ahli Panel 3 dan Amirul Azaim bin Ahmad Mufid selaku simpanan.  Pasukan ini telah diasuh dengan jayanya oleh 2 orang guru Bahasa Melayu yang sangat berdedikasi iaitu Pn Azyanah binti Termudi dan Hajah Siti Khalijah binti Mohamed.
Kecemerlangan pasukan ini telah diteruskan apabila mereka turut merangkul Johan Forum Remaja Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di SMK Bandar Baru Sungai Buloh pada 14 Mei 2013.  Kemenangan ini menjadi bertambah manis apabila Muhammad Muzaffar bin Mazuke turut dinobatkan sebagai Pengerusi Terbaik Forum Remaja.
Mereka akan membawa cabaran Negeri Selangor ke peringkat Kebangsaan yang akan diadakan sekitar bulan September 2013.  Semoga mereka terus berjaya dan mengharumkan nama sekolah di peringkat kebangsaan pula.  Seluruh warga Sepang amnya dan SMK Seri Sepang khususnya berasa bangga dan mendoakan kejayaan Pasukan Forum Remaja SMK Seri Sepang.

Persembahan mereka di peringkat negeri

LAWATAN SMK SERI SEPANG KE HANGAR 5 & 6 KLIA


KLIA - 27 Jun 2013 : Seramai 40 pelajar tingkatan 5 bersama 2 orang guru pengiring telah melawat ke Hangar KLIA.  Pelajar yang terlibat adalah pelajar dari tingkatan 5 Arif, 5 Bijak dan 5 Gemilang manakala guru pengiring pula adalah Pn Liza Fahrani Safri dan Pn Rosemayuzie binti Ab Shatar.  Kami merasa sangat berbangga kerana SMK Seri Sepang merupakan sekolah pertama di daerah Sepang yang membuat lawatan ke Hangar KLIA.  Lawatan ini telah memberi pendedahan kepada pelajar dan guru tentang kerjaya sebagai  Air Craft Engineer,  enjin kapal terbang, kerja-kerja pembaikan dan service kapal terbang yang dijalankan oleh pihak Hangar KLIA.
Teruja bila diberi peluang berada di kokpit
Boeng 777
Cikgu juga teruja di hadapan enjin Boeng  777 yang berharga USD 2 juta

Kalau tidak diberitahu, mesti ramai yang menyangka
ini tayar lori, tapi ini sebenarnya tayar kapal terbang.

Tuesday, June 25, 2013

KEHILANGAN YANG DIRASAI

Pada pagi Isnin 25 Februari 2013 yang lalu kita telah menerima satu berita yang amat mengejutkan seluruh warga SMK Seri Sepang.  Seorang warga pendidik yang begitu berdedikasi telah pergi manyahut seruan Illahi.  beliau yang dimaksudkan ialah Allahyarhamah Pn Shahriah binti Omar.  Seluruh warga SMKSS amat merasakan kehilangan beliau kerana beliau seorang guru yang disayangi oleh pelajar dan disenangi oleh rakan-rakan guru.  Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah....

JAGA KESIHATAN DI MUSIM JEREBU


Sekarang Malaysia dilanda jerebu yang agak teruk sehingga memaksa sekolah ditutup sehari pada 24 Jun 2013 bagi mengelakkan warga sekolah terpalit kesan jerebu.  Oleh itu, semua warga SMK Seri Sepang dinasihatkan menjaga kesihatan di musim jerebu ini.  
Seterusnya, jerebu yang berpanjangan akan menyebabkan kesihatan terjejas terutamanya kepada golongan kanak-kanak, orang tua dan mereka yang mempunyai penyakit seperti bronkitis, asma, penyakit paru-paru kronik, jantung, perokok dan individu yang bekerja di luar pejabat atau pun di luar rumah. Oleh yang demikian, kita hendaklah memastikan kesihatan kita berada dalam keadaan yang stabil ketika masalah jerebu tersebut berlaku dalam kawasan kita.
Terdapat beberapa tanda akibat jerebu yang boleh mengancam kesihatan sesorang individu. Antara kesan-kesan tersebut adalah individu akan mengalami gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk. Antara petanda yang lain adalah merasasukat untuk bernafas atau mengalam sesak nafas.
Kesan-kesan seterusnya adalah hidung berair, kerap bersin, mata pedih dan berair, sakit dada dan kulit badan akan merasa gatal. Jika anda mengalami simptom-simptom demikian adalah digalakkan untuk anda mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital yang berhampiran untuk mendapatkan nasihat daripada doktor.
Panduan yang seterusnya adalah masyarakat digalakkan untuk menggunakan penutup hidung yang dikenali sebagai “nasal mask” terutamanya mereka yang bekerja di luar rumah, pembonceng motosikal, tempat yang berhabuk dan ancaman mereka yang termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi yang berpotensi untuk mendapat penyakit. Selain itu, perokok tidak seharusnya merokok di dalam rumah yang mempunyai anak, ibu bapa dan juga saudara mara.
Adalah lebih baik jika kita sentiasa berada di dalam rumah dan kurangkan berada di luar kawasan rumah jika keadaan jerebu semakin teruk dan membimbangkan. Seterusnya, kita dinasihatkan untuk minum air bersih yang banyak ketika keadaan tersebut berlaku. Semua tips atau panduan yang diberikan amat penting untuk memastikan tahap kesihatan terjamin ketika jerebu berlaku.
Bersama-samalah kita menjaga kesihatan di musim jerebu ini.

Popular Posts